MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT: PENDEKATAN BERSEPADU DALAM PENSTABILAN HARGA DAN KELANGSUNGAN HIDUP DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN SERTA SABAH
25 September 2026
Dua siri Mesyuarat Jawatankuasa Pelan Tindakan Program Penstabilan Harga bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah telah diadakan pada Isnin, 21 September 2026 dan Khamis, 24 September 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah serta IDS Hall, Institut Kajian Pembangunan (Sabah).
Mesyuarat ini telah dipengerusikan bersama oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia; YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); YB Datuk Julita Majungki, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah; serta YBrs. Tuan Shahril Nizam bin Shahidin, Pengarah KPDN Sabah.
Menerusi kedua-dua siri mesyuarat tersebut, Pengerusi Bersama, YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah melalui usaha yang proaktif dan berfokus dalam menstabilkan harga barangan keperluan harian rakyat.
Di samping itu, pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencerminkan kesepaduan usaha dalam memenuhi serta melindungi keperluan rakyat melalui Actionable Plan (Pelan Tindakan) yang dirangka bersama Kumpulan Kerja Teknikal Penstabilan Harga. Pelan ini memberi tumpuan kepada usaha melindungi kuasa beli rakyat serta memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah.
Pihak jawatankuasa akan terus memastikan segala keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini diterjemahkan kepada tindakan segera, bersepadu dan berimpak, demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah.