YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan dan Pengendalian Gelandangan di Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat ini menjadi platform untuk membincangkan isu serta cabaran berkaitan pengurusan dan pengendalian gelandangan, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di samping memperkukuh pendekatan yang lebih menyeluruh, tersusun dan bersepadu dalam menangani isu berkenaan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemas kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan aspek kebajikan, perlindungan, bantuan serta penempatan sementara golongan gelandangan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.
Turut hadir YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); YBhg. Datuk Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sosioekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP); serta pegawai kanan JWP dan agensi-agensi berkaitan.