Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah melaksanakan Sesi Lawatan Tapak dan Penjurian Anugerah Aspirasi Agrokomuniti MADANI Wilayah Persekutuan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026. Inisiatif ini merupakan langkah strategik bagi mengiktiraf pencapaian serta komitmen berterusan komuniti pertanian bandar dalam mengusahakan projek yang mampan, inovatif dan berimpak tinggi.
Secara keseluruhannya, sebanyak 19 Kebun Komuniti telah terlibat dalam penjurian ini, melibatkan enam (6) Kebun Komuniti di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj), 10 Kebun Komuniti di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), satu (1) Kebun Komuniti di bawah Perbadanan Kampong Bharu (PKB) dan dua (2) Kebun Komuniti di bawah Perbadanan Labuan (PL). Penilaian profesional telah dijalankan secara komprehensif oleh barisan panel penilai yang diketuai oleh YBhg. Dato' Mohd. Zulkifli bin Hashim, Timbalan Pengarah, Bahagian Sosio Ekonomi, Jabatan Wilayah Persekutuan; YBrs. Prof. Dr. Norsida binti Man dari Universiti Putra Malaysia; YBrs. Ts. Muhamad Adli Salihin bin Samsudin dari Jabatan Pertanian Malaysia; serta pegawai-pegawai Bahagian Sosio Ekonomi, Jabatan Wilayah Persekutuan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua komuniti yang terlibat atas usaha gigih menyemarakkan agenda kelestarian hijau serta memperkasakan keterjaminan makanan di peringkat akar umbi. Semoga kesungguhan ini terus menjadi inspirasi dalam memacu pembangunan pertanian bandar yang inklusif dan berdaya saing sempena penganjuran MAHA 2026.