MISI TERCAPAI: PENUTUPAN RASMI PROGRAM IPR-BMT WILAYAH PERSEKUTUAN
11 Mei 2026
Berdasarkan Mesyuarat Status dan Penetapan Hala Tuju Strategik Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) Wilayah Persekutuan (WP) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) secara rasminya melabuhkan tirai dengan pencapaian yang amat membanggakan apabila Wilayah Persekutuan kini disahkan mencapai status Sifar Miskin Tegar.
Kejayaan ini merupakan manifestasi keberkesanan modul latihan kemahiran dan bantuan peralatan yang telah mentransformasikan peserta menjadi usahawan yang berjaya. Rekod pendapatan peserta yang kini mencecah RM7,000 hingga RM10,000 sebulan membuktikan bahawa intervensi Kerajaan telah berjaya menoktahkan rantaian kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.
Penutupan program ini menandakan bermulanya Exit Strategy yang lebih dinamik. Para peserta IPR-BMT kini tidak lagi bergantung kepada bantuan, sebaliknya diintegrasikan ke dalam ekosistem ekonomi yang lebih meluas untuk menjamin pendapatan yang progresif. JWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk Kementerian Ekonomi, DBKL, dan institusi pengajian tinggi (UiTM, UM, UMS) yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan bersejarah ini.
Meskipun Program IPR-BMT berakhir, agenda pembangunan sosioekonomi diteruskan dengan fokus baharu bagi mencegah risiko keciciran. Momentum kecemerlangan ini akan diterjemahkan ke dalam program pemerkasaan masa hadapan yang lebih inklusif, memastikan setiap warga Wilayah Persekutuan mempunyai daya tahan ekonomi yang kukuh. Syabas kepada semua peserta IPR-BMT atas usaha gigih mengubah takdir hidup!