Isu berkaitan kenderaan terbiar menjadi fokus Bengkel Penyelarasan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Wilayah Persekutuan pada 27 sehingga 29 Ogos 2025. Bengkel anjuran Bahagian Perbandaran dan Khidmat Teknikal JWP ini telah dihadiri oleh wakil daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan serta rakan strategik iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pengangkutan, Polis DiRaja Malaysia WPKL, dan Jabatan Alam Sekitar WPKL. JWP telah mengundang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Bandaraya Alor Star dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di dalam melaksanakan pelupusan dan pelucutan hak kenderaan buruk dan terbiar.
Sehingga Ogos 2025, sebanyak 4,510 jumlah aduan telah diterima mengenai kenderaan terbiar di Wilayah Persekutuan. Bagi mengurangkan isu kenderaan terbiar ini antara cadangan yang diusulkan, pemilik kenderaan berdaftar yang buruk dan terbiar digalakkan untuk melakukan pelupusan secara sukarela. Antara insentif yang telah diperkenalkan di bawah kerjasama kerajaan bersama pihak Car Medic Sdn. Bhd. di bawah Program Proton Xchange, menawarkan insentif sebanyak RM500 dan Rebat RM2,000 harga beliaan kereta baru keluaran Proton. Beberapa cadangan lain turut diketengahkan termasuklah penambahbaikan proses pelupusan dan pelucutan hak milik kenderaan buruk dan terbiar.
Rumusan bengkel telah dibentangkan kepada YBhg. Datuk TKP (PPe) yang hadir di Majlis Penutupan Bengkel.