YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) selesai mesyuarat bersama Kerajaan Perbandaran Shanghai yang diketuai oleh Mr. Zhang Yonggang, Timbalan Ketua Pengarah Shanghai Municipal Commission of Housing, Urban-Rural Development and Management (SHMCHURDM) yang juga merupakan Pengarah Biro Pengurusan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Bandaraya Shanghai. Mesyuarat ini diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini berkenaan kerjasama ‘twin city’ di antara Putrajaya dan Shanghai.
Perbincangan tertumpu kepada perkongsian kepakaran dalam strategi regenerasi bandar di Shanghai, di mana 10 daerah utama mereka akan menjalani proses regenerasi menjelang tahun 2025.
Antara aspek yang menarik perhatian ialah pelaksanaan konsep ‘Sponge City,’ satu strategi pengurusan banjir pintar yang menggunakan teknologi pemantauan canggih, termasuk sensor bawah tanah. Konsep ini bukan sahaja memperkukuh ketahanan bandar terhadap perubahan cuaca yang ekstrem, malah ia juga berpotensi meminimumkan kesan bencana alam di kawasan berisiko banjir. Model inovatif ini boleh menjadi inspirasi Wilayah Persekutuan dalam mengintegrasikan teknologi hijau dalam perancangan bandar demi masa depan yang lebih lestari.
Shanghai juga telah melaksanakan sistem pengurusan grid bandar yang terperinci, di mana bandar dibahagikan kepada kawasan kecil dan dipantau menggunakan teknologi CCTV, sensor, serta pangkalan data awam. Setiap elemen infrastruktur bandar, daripada pokok hingga lampu jalan, diberikan kod unik bagi memudahkan pemantauan dan pengurusan. Tambahan pula, penguatkuasaan dijalankan dengan ketepatan sehingga 90%, menggunakan CCTV dan rondaan mudah alih yang mengesan kesalahan secara automatik.
Pada akhir perbincangan, YB Menteri menyuarakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik ‘twin city’ di antara Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya, dengan Shanghai melalui program pertukaran kepakaran.