OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT MANGSA TANAH JERLUS MASJID INDIA DITERUSKAN
24 Ogos 2024
YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bergegas ke Masjid India untuk melihat sendiri keadaan tanah jerlus yang berlaku semalam melibatkan seorang warga India sejurus mendarat di KLIA dari tugasan rasmi SUKMA XXI Sarawak yang ditamatkan sehari awal.
YB Menteri dimaklumkan pasukan penyelamat meneruskan ikhtiar dalam operasi pencarian mangsa di dua lagi baki lurang
kumbahan.
Dalam masa yang sama, YB Menteri turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan dimaklumkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberikan bantuan kaunseling kepada mereka.
YB Menteri juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk terus tidak membenarkan pengunjung melalui kawasan sekitar Masjid India serta menutup premis perniagaan terdekat buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan masih terdapat gas berbahaya yang mudarat kepada kesihatan keluar dari kawasan tersebut.
Semua agensi berkaitan, termasuk pihak DBKL sedang berusaha sebaik mungkin memastikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan prosedur yang ditetapkan. Sama-sama kita doakan.
Semua pihak diminta terus bersabar dan mendapatkan maklumat dari sumber yang diperakui sah dari semasa ke semasa.