WAJAH BAHARU DEWAN KOMUNITI KG. PATAU-PATAU 1
11 Ogos 2024
YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) disaksikan YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBrs. Tuan Simsudin bin Sidek, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan dan YBrs. Tuan Haji Rithuan bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merasmikan Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau 1 yang baharu pagi ini.
Projek ini mula dibina pada 13 Februari
2023 dan telah siap sepenuhnya pada 9 Julai 2024 dengan keluasan 340 meter persegi. Pembinaan dewan komuniti ini dibiayai di bawah Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM1,974,445.00.
Pembinaan dewan ini adalah sebagai pengganti kepada Balai Raya lama yang telah uzur dan tidak selamat digunakan, berusia lebih dari 40 tahun. Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau 1 yang baru ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih teratur dan berpusat, tetapi juga sebagai kemudahan alternatif bagi masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti.
Dalam majlis yang sama, Program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) turut diadakan, di mana Perbadanan Labuan (PL) telah memeterai kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkenalkan skim perlindungan kepada penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan Labuan.
Di bawah skim ini, kerajaan menanggung 90% daripada caruman, sementara baki 10% akan ditanggung oleh penjaja. Perbadanan Labuan (PL) akan menaja caruman untuk kira-kira 900 penjaja yang layak, termasuk mereka yang terlibat dalam program Lestari Niaga.