Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail, Jalan Ipoh dan jalan-jalan sekitarnya telah dikenalpasti sebagai kawasan ‘KL Congestion Hot Spot’ sekian lama dan diklasifikasikan sebagai ‘Level of Service F’.
Justeru, pada pagi ini YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) telah merasmikan projek mempertingkatkan persimpangan bertingkat di kawasan ini yang telah mula beroperasi hampir 2 bulan yang lalu dan akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut pada waktu puncak ke ‘Level of Service C’.
Projek ini melibatkan penambahan satu lorong sepanjang 1.4km bagi kedua-dua arah, pelebaran lima struktur jambatan, pembinaan dinding penahan di tepi tebing Sungai Batu dan jalan menuju ke jambatan Jalan Kuching, serta kerja-kerja yang berkaitan bagi menyokong pembinaan ini.
Insya-Allah, manfaat daripada projek ini akan memberikan impak yang positif, khususnya kepada 1.7 juta kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak setiap hari, memandangkan laluan ini adalah antara laluan utama yang menjadi tumpuan.
YB Menteri juga telah mengarahkan pihak DBKL untuk mengadakan survey pandangan awam bagi menilai sama ada projek ini memberi kesan yang positif atau sebaliknya kepada pengguna, selaras dengan konsep ‘participatory’ yang diamalkan di Wilayah Persekutuan.
Turut hadir, YBhg. Datuk Ramlee bin Yatim, Timbalan Ketua Pengarah (PP) Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Seri PMgr Sr Haji Kamarulzaman Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai kanan JWP dan Agensi.