YBhg. Dato’ Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan turun meninjau tapak Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pagi ini. Lawatan ini diadakan bagi memantau tahap kemajuan pelaksanaan projek di samping mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang isu-isu pelaksanaan di tapak.
Projek penswastaan dengan usahasama Syarikat Retro Highland Sdn. Bhd. ini menyediakan sebanyak 5,650 unit rumah gantian khusus bagi golongan B40 di kawasan terlibat. Daripada jumlah tersebut, 859 bermilik individu dan 4,791 merupakan unit sewaan DBKL yang akan mempunyai keluasan 850 kaki persegi. Setiap unit bermilik individu akan digantikan secara one-to-one.
Pelaksanaan terkini melibatkan Fasa 1C telah bermula dan projek ini sedang mendahului jadual, dengan status kemajuan di tapak sebanyak 22.61%. Pelaksanaan projek penswastaan secara pembangunan semula ini diharap dapat menyediakan perumahan yang lebih selesa, kondusif dan berdayahuni kepada warga Wilayah Persekutuan, sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI.
#WilayahPersekutuanKita #MalaysiaMADANI