LAWATAN TAPAK DAN MESYUARAT PEMANTAUAN PROJEK RESIDENSI WILAYAH BERSTATUS SAKIT
27 Mei 2024
Susulan daripada Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri KPKT pada 21 Mei 2024, YBhg. Dato’ Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (PSE), Jabatan Wilayah Persekutuan hari ini mengadakan lawatan tapak serta mesyuarat pemantauan ke dua projek Residensi Wilayah berstatus sakit iaitu Pangsapuri Salak Selatan dan Residensi Hijauan Pantai, WP Kuala Lumpur. Lawatan tapak ini diadakan untuk memantau kemajuan projek di tapak dan mengenal pasti masalah yang timbul berkaitan permohonan berkaitan utiliti di kedua-dua projek ini bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan kadar segera.
Pembangunan Residensi Wilayah ini akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman mampu milik pada harga di bawah RM300,000. Residensi Wilayah merupakan salah satu inisiatif Lindung@PUJI di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan (PUJI).