YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBrs. Tuan Mohamad Zamir Ghazali, Pengarah Urusan MARDI Corporation Sdn. Bhd. di Bangunan MARDI Corporation, MAEPS, Serdang bagi memperkukuh hubungan strategik serta membincangkan potensi kerjasama sempena Pameran MAHA 2026.
Kunjungan ini diadakan bagi mendapatkan pandangan dan perkongsian daripada pihak MARDI Corporation dalam memastikan penyertaan Wilayah Persekutuan di MAHA 2026 tampil lebih berimpak tinggi serta memberi manfaat kepada komuniti dan usahawan tempatan.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh usaha pemerkasaan kebun komuniti sebagai medium penjanaan pendapatan, pembangunan usahawan tani di peringkat huluan dan hiliran serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan di Wilayah Persekutuan.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Parang Abai@Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosioekonomi), YBrs. Tuan Mohd Sharif bin Mohamad Yaakob, Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi, YBrs. Tuan Shamshul Joehari bin Zainal Mokhtar, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), DBKL, YBrs. Encik Mohd Yamin Mohd Zainal, Pengurus Agrotourism MARDI Corporation, YBrs. Encik Aziz Ali, Pengurus Aset dan Fasiliti MARDI Corporation serta pegawai-pegawai daripada JWP dan DBKL.