YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menerima kunjungan serta taklimat daripada pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai oleh YBhg. Dato' Sri Haji Abdul Halim bin Aman, Ketua Pesuruhjaya SPRM, berhubung hasil siasatan terhadap proses pemberimilikan kolam takungan banjir kepada pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.
Susulan taklimat dan siasatan tersebut, tiada unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa ditemui dalam proses pemberimilikan serta pembangunan yang diluluskan sebelum ini. Sebagai langkah penambahbaikan, JWP turut mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir bagi memastikan fungsi kawasan ini terus terpelihara pada masa hadapan.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Muhammad Azmi Bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta YBhg. Datin Paduka Rahilah Binti Rahmat, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.