Page 54 - Demo
P. 54
STATUS SEMASA DAN PENCAPAIANWilayah Persekutuan mencerminkan landskap demografi warga emas bandar yang semakin berkembang. Keadaan ini menjadikan Wilayah Persekutuan antara kawasan terawal merasai implikasi penuaan penduduk. Justeru, ia memerlukan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang responsif dan bersasar. Seiring Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PTPKWE) 2023%u20132030, pelbagai intervensi telah diperkenalkan untuk memastikan warga emas kekal sihat, aktif dan berdikari.Antara pencapaian utama di Wilayah Persekutuan ialah peluasan perkhidmatan kesihatan primer mesra warga emas di Klinik Kesihatan serta pelaksanaan saringan kesihatan berkala. Warga emas yang dikenal pasti berisiko turut menerima intervensi awal melalui program pemulihan seperti fisioterapi dan terapi carakerja. Selain itu, program jangkau luar turut dilaksanakan kepada warga emas terlantar di rumah dan institusi. Pada tahun 2022, lebih 95% warga emas di institusi dan 98% warga emas terlantar menerima pemeriksaan dan rawatan kesihatan. Penubuhan Kelab Warga Emas di beberapa klinik kesihatan di Wilayah Persekutuan turut memberi ruang kepada golongan ini untuk terus aktif secara sosial dan fizikal.Tambahan pula, beberapa hospital utama di Kuala Lumpur seperti Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai Unit Geriatrik khusus, dikendalikan oleh Pakar Perubatan Geriatrik. Namun, bilangan pakar masih terhad dan memerlukan peluasan perkhidmatan ke hospital lain. Dalam aspek latihan, sejumlah anggota kesihatan di Wilayah Persekutuan telah menerima latihan lanjut dalam penjagaan geriatrik bagi menyokong kecekapan perkhidmatan. Keseluruhannya, Wilayah Persekutuan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan warga emas, namun usaha perlu diteruskan bagi memastikan kebolehcapaian dan kualiti perkhidmatan ditingkatkan secara menyeluruh.KEPENTINGANPenuaan sihat merupakan salah satu lonjakan di dalam Pelan Strategik Warga Emas Wilayah Persekutuan 2025-2030 kerana ia mendokong kepada kualiti hidup golongan warga emas dalam persekitaran bandar yang kompleks dan cepat berubah. Konsep penuaan sihat ini merujuk kepada usaha memastikan warga emas kekal sihat, aktif dan berdikari serta memberi perhatian kepada mereka yang mengalami penurunan kefungsian serta menjaga maruah individu yang bergantung kepada orang lain.43

