🏝️ PULAU KURAMAN MELAKAR SEJARAH BAHARU! 🌊✨
11 Oktober 2026
Program Bersih Setiap Tempat (BeST) di Pulau Kuraman, Wilayah Persekutuan Labuan, menyemarakkan semangat kebersamaan menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pesisir pantai. Usaha ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan serta memelihara keindahan alam semula jadi.
Lebih membanggakan, beting pasir di Pulau Kuraman telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai beting pasir terpanjang di Malaysia, dengan ukuran keseluruhan sepanjang 808.4 meter, termasuk 790.4 meter bahagian yang kekal terdedah dan tidak pernah ditenggelami air.
Pengiktirafan ini bukan sahaja melakar sejarah baharu buat Labuan, malah membuka peluang untuk mengetengahkan Pulau Kuraman sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang unik. Pulau ini berkeluasan 363 ekar dan merupakan antara 11 geotapak di Labuan, dengan anggaran usia kira-kira 35 juta tahun.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; YBhg. Datuk Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan; YBrs. Tuan Simsudin bin Sidek, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan; serta YBrs. Tuan Haji Rithuan bin Haji Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.
Semoga inisiatif ini terus menyemai budaya kebersihan, memperkukuh kerjasama semua pihak dan meningkatkan kesedaran untuk bersama-sama memelihara khazanah alam semula jadi Labuan demi generasi akan datang. 💚