YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), bersama YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah turun padang ke kolam takungan banjir di kawasan Batu dan Jinjang bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan bagi meninjau sendiri kapasiti serta keadaan sebenar di lapangan.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keupayaan kolam takungan banjir dalam menampung limpahan air ketika hujan lebat, selain menilai tahap penyelenggaraan, keberkesanan sistem saliran sedia ada serta cabaran operasi yang dihadapi di lokasi terbabit.
Isu banjir di Kuala Lumpur bukan hanya berpunca daripada taburan hujan yang tinggi, malah turut dipengaruhi oleh faktor pengurusan sisa pepejal, penyumbatan saliran, pembangunan pesat serta perancangan guna tanah yang perlu diteliti secara lebih bersepadu dan mampan.
Dalam masa yang sama, penelitian semula status beberapa tapak kolam takungan banjir yang telah dijual sebelum ini turut dilaksanakan, termasuk menilai implikasi penjualan tersebut terhadap kapasiti bandar dalam mengurus aliran air hujan serta keupayaan menghadapi kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Usaha ini penting bagi memastikan perancangan bandar di Kuala Lumpur terus berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi risiko banjir kilat, di samping memperkukuh langkah mitigasi demi kesejahteraan dan keselamatan warga kota.