Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendekatan baharu dalam pengurusan caj pembangunan apabila kutipan yang diperoleh akan disalurkan semula terus ke kawasan setempat bagi menaik taraf infrastruktur yang diperlukan rakyat.
Langkah pembaharuan ini membuktikan komitmen DBKL untuk memastikan setiap pembangunan baharu turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti sekitar khususnya dari segi jaringan jalan raya, sistem perparitan, kemudahan awam dan penyuraian trafik.
Selaras dengan keutamaan terhadap pembangunan infrastruktur bandar, DBKL kini melaksanakan Projek Trafik Lancar yang melibatkan tiga projek jalan bersasar di lokasi kritikal yang dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan. Projek-projek ini memberi tumpuan kepada penyelesaian bottleneck utama yang menjejaskan pergerakan harian warga kota.
1. Segambut: Pembinaan Jalan dan Terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link)
Kesesakan di Jalan Desa Kiara dan kawasan Mont Kiara dikenal pasti berada pada tahap kritikal (LOS F) akibat kekangan laluan keluar masuk serta peningkatan kepadatan pembangunan.
Bagi menangani isu ini, DBKL akan membina laluan alternatif yang menghubungkan Jalan Kiara 7 terus ke Lebuhraya SPRINT (E23 Penchala Link). Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 562 meter serta struktur terowong dan jambatan.
Berdasarkan simulasi trafik yang dijalankan, projek ini berpotensi meningkatkan tahap perkhidmatan jalan daripada LOS F kepada LOS C, sekali gus mengurangkan masa perjalanan dan mengagihkan semula aliran trafik di kawasan tersebut.
Projek ini dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan siap dalam tempoh dua tahun.
2. Seputeh: Menaiktaraf Susur Keluar dari NPE ke Lebuhraya KL–Seremban
Kesesakan di susur keluar NPE ke Lebuhraya KL–Seremban, khususnya melibatkan aliran trafik dari Jalan Kuchai Maju, Jalan Desa dan Salak, telah memberi kesan langsung kepada perjalanan waktu puncak.
DBKL akan melaksanakan kerja menaiktaraf dengan menambah satu lorong daripada dua kepada tiga lorong serta menaik taraf jajaran jalan dan jambatan sepanjang kira-kira 600 meter bagi meningkatkan kapasiti dan kelancaran aliran trafik.
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di laluan utama sekitar Taman Desa serta mempercepatkan pergerakan ke pusat bandar.
Projek ini dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan siap dalam tempoh satu tahun.
3. Wangsa Maju: Menaiktaraf Persimpangan Jalan 7/24 dan MRR2 (Wangsa Melawati)
Persimpangan ini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi dari segi kesesakan dan kemalangan, terutamanya pada waktu puncak.
Cadangan menaiktaraf melibatkan pelebaran susur masuk dan keluar, penambahbaikan reka bentuk persimpangan serta peningkatan elemen keselamatan jalan raya.
DBKL kini di peringkat akhir memuktamadkan reka bentuk sebelum dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor untuk kelulusan. Tertakluk kepada kelulusan tersebut, projek ini dijangka bermula pada Jun 2026 dan siap dalam tempoh empat bulan.
DBKL akan memastikan pemantauan rapi dilaksanakan sepanjang tempoh projek bagi memastikan kemajuan mengikut jadual dan kualiti kerja terjamin.
Ketiga-tiga projek ini mencerminkan pendekatan baharu DBKL yang meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya.
DBKL komited memastikan infrastruktur berkembang seiring dengan pembangunan demi memenuhi keperluan rakyat.