1 Julai 2026
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah melantik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) bagi menilai keperluan serta implikasi pembaharuan terhadap kerangka tadbir urus Kuala Lumpur. Kajian ini kini telah dimuktamadkan dan hasil dapatan utama adalah seperti berikut:
Skop Kajian
Kajian ini telah dilaksanakan selama empat (4) bulan, bermula pada 1 Disember 2025 dan berakhir pada 31 Mac 2026.
Bagi tujuan penyediaan laporan kajian ini, UIAM telah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur pada 2 Mac 2026 dan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 9 Mac 2026 bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan utama berhubung aspek tadbir urus, struktur pentadbiran, proses membuat keputusan, penyampaian perkhidmatan, penguatkuasaan, mekanisme akauntabiliti serta keperluan reformasi institusi yang berkait rapat dengan kerangka Akta 190.
Kajian ini meneliti:
• Hasil laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (Policy Advisory Committee to the Prime Minister - PMAC).
• Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang diusulkan oleh beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur di bawah Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
PMAC sebelum ini mencadangkan supaya entiti perundangan Datuk Bandar Kuala Lumpur diubah daripada konsep perbadanan tunggal kepada perbadanan korporat melalui penubuhan Majlis Tertinggi.
Selain itu, terdapat juga cadangan penubuhan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (MBKL) sebagai badan yang menasihati Datuk Bandar daripada kalangan tujuh (7) orang Ahli Parlimen Kuala Lumpur melalui RUU Persendirian.
Hasil Kajian
Hasil kajian pihak UIAM mendapati bahawa:
(i) Pindaan kepada peruntukan Akta 190 yang telah digubal untuk mentadbir bandaraya Kuala Lumpur, yang mempunyai kedudukan sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan, adalah agak sensitif kerana melibatkan struktur tadbir urus di peringkat tertinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan Selangor, dan tidak terhenti pada peringkat Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan Lembaga Penasihat. Dari sudut sejarah dan Perlembagaan Persekutuan, struktur ini adalah evolusi bandaraya Kuala Lumpur daripada model kerajaan tempatan yang berdasarkan pilihan raya kepada model pentadbiran berpusat.
(ii) Oleh itu, sebarang perubahan kepada struktur asas Akta 190 tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal semata-mata. Dalam konteks ini, ruang penambahbaikan yang dikenal pasti hendaklah terlebih dahulu dilaksanakan melalui reformasi dalaman secara pentadbiran seperti arahan dalaman, garis panduan, protokol operasi dan mekanisme penyelarasan dalaman institusi sebelum pindaan kepada kerangka statutori dipertimbangkan.
(iii) Sistem ahli majlis dicadangkan tidak diperkenalkan dalam struktur DBKL pada masa ini. Sebaliknya, mekanisme semak dan imbang hendaklah diperkukuh melalui struktur sedia ada tanpa menambah satu lagi lapisan dalam membuat keputusan yang berpotensi menimbulkan pertindihan fungsi atau ketidakjelasan akauntabiliti.
(iv) Kerangka tatakelola Lembaga Penasihat DBKL perlu disediakan bagi memperincikan kriteria dan kuota ahli profesional serta wakil NGO dalam Lembaga Penasihat, struktur pengurusan, tatacara perjalanan mesyuarat, kaedah pembentangan kertas, tatacara membuat pertimbangan, bentuk pelaporan serta hubungan kerja antara Lembaga Penasihat, Datuk Bandar, Menteri dan pengurusan DBKL.
(v) Kajian menunjukkan bahawa banyak isu yang timbul dalam pelaksanaan semasa bukan berpunca secara langsung daripada ketiadaan peruntukan undang-undang, tetapi daripada ketiadaan dokumen yang memperincikan tatakelola seperti garis panduan pelaksanaan dan tatacara pengurusan mesyuarat yang jelas, konsisten dan mempunyai punca kuasa yang mencukupi.
(vi) Peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur hendaklah diperkukuh sebagai institusi pengawasan demokratik, konsultatif dan representasi awam dalam tadbir urus DBKL tanpa memberikan kuasa pentadbiran langsung atau pencalonan formal yang boleh mengaburkan sempadan antara fungsi perwakilan politik dengan fungsi pentadbiran bandar.
(vii) Penglibatan Ahli Parlimen hendaklah diperkukuh melalui mesyuarat konsultatif berkala, jawatankuasa pemantauan, semakan belanjawan serta saluran penyampaian isu rakyat dan pembangunan kawasan kepada DBKL dan Menteri bertanggungjawab untuk Wilayah Persekutuan. Mekanisme mesyuarat konsultantif hendaklah diperincikan dengan jelas dari segi skop, kekerapan, bentuk pelaporan dan aspek penyelarasan.
Selain itu, hasil kajian menunjukkan bahawa dari sudut perundangan dan sejarah, Kuala Lumpur sememangnya ditubuhkan di bawah pentadbiran Datuk Bandar sebagai Perbadanan Tunggal selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 190. Hal ini dapat dilihat dengan jelas berdasarkan perbahasan Hansard Parlimen 1960, iaitu bagi menjauhkan pentadbiran ibu kota daripada polemik dan ketidaktentuan politik kepartian tempatan. Pewujudan entiti Ahli Majlis dengan kuasa eksekutif atau kuasa mengundi secara langsung berpotensi menjejaskan doktrin pentadbiran Kuala Lumpur menjadi sebuah Perbadanan Pembandaran biasa yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Perubahan sedemikian boleh dilihat sebagai bercanggah dengan niat asal perundangan serta semangat Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur 1974.
Keputusan Kabinet
Sehubungan itu, JWP telah membentangkan hasil kajian tersebut kepada Jemaah Menteri, dan JWP telah diarahkan untuk memberikan fokus kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang dalam DBKL secara berperingkat terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Akta 190. Perkara yang sama hendaklah dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa. JWP bersama DBKL kini sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh tadbir urus DBKL agar terus relevan dan berkesan pada masa hadapan.