MEMPERKUKUHKAN PENDAPATAN RAKYAT MELALUI INISIATIF DAPUR DIGITAL DI BAWAH PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN
02 April 2026
Unit Kemiskinan, Bahagian Sosio Ekonomi JWP melaksanakan pemantauan berkala di Dapur Digital Pangsapuri Awam (PA) Sri Kedah bagi memastikan pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan kekal berkesan dan relevan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Sejak beroperasi sepenuhnya pada Januari 2026, Dapur Digital Sri Kedah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan penjanaan pendapatan mencecah sehingga RM9,000 sebulan, hasil jualan menu seperti Nasi Lemak, aneka lauk pauk serta kuih tradisional yang mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.
Lawatan ini turut menumpukan kepada usaha penambahbaikan operasi meliputi aspek pensijilan, pemerkasaan teknologi, promosi digital serta penjenamaan produk bagi meningkatkan daya saing peserta. Sebagai langkah memperluas potensi pendapatan, variasi menu akan terus diperkembangkan termasuk Western Food, Nasi Ayam Penyet dan Nasi Ayam Geprek bagi memenuhi kehendak pasaran.Dapur Digital Sri Kedah akan terus diperkasa sebagai platform strategik dalam menjana pendapatan mampan dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
Hadir bersama ialah YBrs. En. Mohd. Fahmy bin Md. Jamal, pegawai DBKL; YBrs. En. Zikry Irfan, wakil Yayasan Sukarelawan Siswa; YBrs. Pn. Sutina binti Abd Rahman, Timbalan Pengerusi KRT PA Sri Kedah; serta YBrs. En. Mohamad Fadhli bin Mahyudeen, peserta program.