Page 128 - Demo
P. 128
KEPENTINGANDi Wilayah Persekutuan yang semakin padat, tekanan terhadap sistem sokongan warga emas menjadi lebih kompleks kerana persekitaran bandar sering gagal memenuhi keperluan fizikal dan emosi warga emas yang semakin meningkat. Sistem penjagaan tradisional berasaskan keluarga kini semakin terhakis akibat gaya hidup moden, kepadatan penduduk dan mobiliti tinggi dalam kalangan generasi muda. Maka, penyediaan sistem sokongan awam yang tersusun menjadi semakin penting. Ketika Wilayah Persekutuan menyasarkan status bandar raya pintar dan inklusif menjelang 2030 melalui pelaksanaan CHASE City, keperluan untuk menyepadukan pendekatan penuaan menyokong dalam reka bentuk perumahan, pengangkutan, akses perkhidmatan dan aktiviti komuniti adalah sangat mendesak. Strategi seperti pembangunan pusat transit mesra warga emas dan penginapan jangka pendek, yang digariskan dalam Lonjakan 5, sejajar dengan prinsip CHASE terutamanya dalam dimensi SafeCity dan Healthy City.Selain itu, sistem sokongan yang menyeluruh adalah instrumen penting dalam mengekang ketidaksamaan kesihatan dan sosial, terutamanya bagi warga emas berpendapatan rendah, kurang upaya atau yang tinggal bersendirian. Pelaburan dalam kemudahan pencegahan seperti pusat penjagaan komuniti, pengesanan awal penyakit berkaitan usia dan pengukuhan penjagaan primer dapat menjimatkan perbelanjaan jangka panjang sistem kesihatan awam. Kajian tempatan dan global menunjukkan bahawa sokongan awal mengurangkan kebergantungan terhadap kemasukan hospital dan meningkatkan kualiti hidup tahun-tahun akhir kehidupan. Dalam konteks ini, penubuhan Hub Penyelidikan Penuaan di Wilayah Persekutuan yang disasarkan melalui Lonjakan 5 akan menjadi asas penting untuk merangka dasar yang berpaksikan bukti (evidence-based), selari dengan pendekatan CHASE City yang mementingkan keberkesanan intervensi melalui penilaian impak dan data komuniti rentan.Akhirnya, memastikan warga emas menyokong dan disokong adalah cerminan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan keadilan sosial. Dalam landskap antarabangsa, ia menunjukkan kesungguhan negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan). Wilayah Persekutuan berpotensi menjadi model perintis kepada pembangunan bandar yang inklusif usia jika Lonjakan Penuaan Menyokong dilaksanakan secara strategik dalam kerangka pelan pembangunan seperti CHASE City dan PUJI@WP. Maka, usaha membina sistem penuaan menyokong bukan hanya soal dasar tetapi ia adalah pelaburan strategik terhadap maruah warga emas dan daya tahan sosial bandar raya masa depan.117

