Page 108 - Demo
P. 108


                                    STATUS SEMASA DAN PENCAPAIANKesedaran terhadap isu ekonomi dan kemiskinan dalam kalangan warga emas semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembuat dasar di Malaysia. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, cabaran utama masih wujud seperti simpanan persaraan yang tidak mencukupi, jurang perlindungan sosial, diskriminasi umur di tempat kerja, serta kekurangan peluang pekerjaan yang sesuai dengan tahap keupayaan warga emas. Realiti ini menjadi semakin genting di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, di mana kos sara hidup yang tinggi meletakkan warga emas berisiko tinggi untuk mengalami kemiskinan bandar.Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2021%u20132025 memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi warga emas melalui pembelajaran sepanjang hayat, latihan kemahiran semula dan penglibatan dalam aktiviti ekonomi komuniti. Seiring dengan hala tuju CHASE City, pendekatan ini menjurus khusus kepada dimensi Advance City, yang menyasarkan penglibatan warga emas dalam kegiatan ekonomi yang produktif dan bermakna. Antara inisiatif yang menonjol termasuk program Seniors Back in Action (SEBA) di bawah HRD Corp, yang menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas. Program ini dijalankan secara fleksibel sama ada secara fizikal atau dalam talian dalam tempoh tiga hari hingga tiga bulan, bagi membolehkan warga emas menjana pendapatan sampingan atau kembali aktif dalam pasaran kerja. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan, malah meningkatkan harga diri dan penerimaan sosial terhadap penyertaan warga emas dalam ekonomi semasa.Dalam aspek perlindungan sosial, kerajaan telah menyediakan beberapa bentuk bantuan kewangan kepada warga emas yang layak. Antaranya ialah Bantuan Warga Emas (BWE) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang memberikan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau sokongan keluarga. Setakat tahun 2023, lebih 140,000 penerima telah menerima manfaat daripada skim ini dengan peruntukan melebihi RM570 juta. Selain itu, warga emas yang memenuhi syarat juga boleh memohon Skim Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), yang bertujuan menampung keperluan asas dan meningkatkan daya tahan kewangan golongan rentan. Meskipun pelbagai bentuk bantuan disediakan, jurang simpanan persaraan masih menjadi isu kritikal. Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa sebahagian besar pencarum berumur 55 tahun dan ke atas mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, sekali gus menyebabkan mereka tidak bersedia untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan yang mencukupi. Situasi ini memerlukan perhatian strategik melalui dasar yang memperluas akses kepada peluang pekerjaan fleksibel dan skim sokongan ekonomi yang bersasar.97
                                
   102   103   104   105   106   107   108   109   110   111   112