YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) hadir ke Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia W.P. Kuala Lumpur bagi menyalurkan geran sebanyak RM50,000 bagi membantu pembelian peralatan tambahan untuk memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan operasi mereka, sekali gus sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan perkhidmatan pasukan bomba.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan tahap keselamatan kebakaran di bangunan strata di Kuala Lumpur susulan peningkatan kes kebakaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempergiat usaha melalui dua langkah utama iaitu memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala oleh pihak pengurusan bangunan serta menggalakkan peranan aktif penduduk dalam memastikan tahap keselamatan sentiasa terjamin.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang lebih selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan demi kesejahteraan warga kota.