DBKL PERGIAT USAHA NAIK TARAF PERUMAHAN AWAM DEMI KESEJAHTERAAN WARGA KOTA
14 Jun 2026
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras dan YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, hari ini meninjau pelaksanaan projek-projek penyelenggaraan dan penaiktarafan di Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew yang memberi manfaat kepada lebih 1,700 keluarga penghuni.
Lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri perkembangan Program Penyelenggaraan Perumahan Awam DBKL yang dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
Antara penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk kerja-kerja pengecatan semula bangunan, turapan jalan, penggantian genset, penaiktarafan sistem bekalan elektrik serta penggantian sistem keselamatan kebakaran melibatkan dry riser dan wet riser.
Selain projek naik taraf, DBKL turut meneruskan penyelenggaraan berkala melibatkan kemudahan awam seperti lif, lampu kawasan, taman permainan dan jalan dalaman bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memastikan perumahan awam di Kuala Lumpur terus berdaya huni, selamat dan selesa demi kesejahteraan seluruh warga kota.