PERKUKUH AGENDA BANDAR PINTAR WILAYAH PERSEKUTUAN
24 Ogos 2026
YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bandar Pintar Wilayah Persekutuan Bilangan 2 Tahun 2026 pada pagi ini.
Mesyuarat memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pelaksanaan agenda bandar pintar Wilayah Persekutuan melalui MySmart Wilayah 2030, termasuk penyelarasan Pelan Tindakan Bandar Pintar PBT serta pelaksanaan inisiatif berimpak yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Selaras dengan hala tuju tersebut, PBT Wilayah Persekutuan iaitu DBKL, PPj dan PL terus berusaha memperkukuh pelaksanaan inisiatif bandar pintar ke arah mencapai Penarafan Bandar Pintar Malaysia Tahap 2 – Developing Smart City dan seterusnya Tahap 3 – Leading Smart City menjelang tahun 2030, selaras dengan pematuhan indikator bandar pintar berasaskan MS ISO 37122:2019.
Usaha ini turut diperkukuh melalui penjajaran semula MySmart Wilayah 2030 kepada keperluan 85 Indikator Bandar Pintar Negara, bagi memastikan hala tuju bandar pintar Wilayah Persekutuan kekal relevan dan selaras dengan hala tuju Bandar Pintar Nasional.
Bandar pintar bukan sekadar teknologi, tetapi bagaimana teknologi, data dan inovasi dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir YBhg. Dato’ Haji Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Presiden Perbadanan Putrajaya; YBhg. Dato’ TPr Gs. Rozita binti Hamit, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), PLANMalaysia; Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); pegawai-pegawai kanan PBT Wilayah Persekutuan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL), serta urus setia mesyuarat daripada JWP.