JABATAN PERDANA MENTERI (WILAYAH PERSEKUTUAN) KOMITED TINGKATKAN TARAF HIDUP WARGA WP LABUAN MENERUSI USAHA PENSTABILAN HARGA BARANGAN
08 Ogos 2026
Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menegaskan komitmen berterusan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan Labuan menerusi usaha proaktif dan berfokus dalam menstabilkan harga barangan keperluan harian. Perkara ini menjadi keutamaan teras kerajaan bagi memastikan isu kos sara hidup yang membebankan rakyat dapat menangani secara menyeluruh dan berkesan.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah membuktikan keseriusan kedua-dua pihak dalam menangani cabaran jurang harga barangan di peringkat tempatan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan dan komitmen padu menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Tindakan Program Penstabilan Harga di Sabah dan WP Labuan 2026-2030.
Pengerusi Bersama mesyuarat, YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menegaskan bahawa pelaksanaan langkah-langkah dan Actionable Plan (Pelan Tindakan) yang dirangka perlulah disusuli dengan tindakan konkrit serta rasionalisasi harga yang berkesan. Langkah ke depan ini merangkumi semakan semula dasar sedia ada serta tindakan intervensi bagi mengurangkan kos logistik dan kebergantungan kepada barangan import. Beliau menambah, segala tindakan yang diambil mesti membawa impak yang jelas dan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat dalam bentuk harga barangan yang lebih stabil dan mampu milik.
Pihak jawatankuasa bersiap sedia untuk menggembleng tenaga bersama pelbagai agensi bagi memastikan matlamat penstabilan harga ini tercapai demi kesejahteraan rakyat Sabah dan WP Labuan.