RM2.59 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI NAIK TARAF PPR SERI PANTAI, PERKUKUH KESEJAHTERAAN WARGA KOTA
29 Julai 2026
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), bersama Datuk Seri TPr. Fadlun Bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada penerima yang berjaya, surat tawaran premis pusat penjaja serta mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf di PPR Seri Pantai.
Peruntukan tersebut melibatkan kerja naik taraf kemudahan lif, penurapan jalan, penambahbaikan sistem pencahayaan, sistem pam air, taman permainan kanak-kanak serta sistem pencegahan kebakaran bagi memastikan kemudahan awam terus berada dalam keadaan selamat, selesa dan berfungsi dengan baik untuk manfaat penduduk.
Dalam majlis yang sama, seramai 29 penerima menerima surat tawaran PPR, manakala 40 peniaga tempatan menerima surat tawaran pengisian premis pusat penjaja di lapan kawasan Parlimen Kuala Lumpur. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperkukuh kesejahteraan warga kota melalui penyediaan kediaman yang berkualiti serta peluang menjana pendapatan.