TINJAU PERKEMBANGAN PROJEK PEMBANGUNAN DEMI KESEJAHTERAAN WARGA WILAYAH PERSEKUTUAN
17 Julai 2026
YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd. Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik di Kuala Lumpur yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan dan kualiti hidup warga kota.
Antara projek yang dilawati ialah Projek Peningkatan dan Pelebaran Jalan di Jalan Sungai Yew dan Jalan Sungai Besi yang kini mencapai kemajuan 98 peratus. Projek ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas harian serta meningkatkan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya.
Lawatan turut diteruskan ke Projek Meroboh, Membina dan Menaik Taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras yang bakal menyediakan fasiliti krematorium berteknologi tinggi, lebih cekap dan kondusif bagi memenuhi keperluan masyarakat serta membantu mengurangkan kos perkhidmatan kepada warga kota.
Seterusnya, lawatan diadakan ke Projek Membina dan Menyiapkan Dataran serta Kemudahan Berkaitan di Rizab Padang dan Pusat Rekreasi Kampung Pindah, Kampong Bharu yang bakal menawarkan pelbagai kemudahan termasuk kawasan rekreasi, tempat letak kereta, ruang niaga, padang bertingkat, surau, taman permainan dan ruang makan terbuka bagi manfaat komuniti setempat.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan JWP dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, berkualiti dan memberi manfaat optimum kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan.