YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), hari ini telah hadir dan merasmikan Program "Jom Plogging & Jom Kitar Semula" yang berlangsung dengan jayanya di KL Tzu-Chi Jing Si Hall. Program komuniti yang bermakna ini merupakan inisiatif anjuran Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia. Program tersebut turut mendapat penyertaan daripada pihak Public Bank, Berjaya Group dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat.
Aktiviti plogging yang menggabungkan amalan berjoging atau berjalan santai sambil mengutip sampah ini bukan sahaja bertujuan untuk menyihatkan tubuh badan, malah mendidik masyarakat untuk lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran. Melalui program ini agensi kerajaan, badan korporat, dan kumpulan komuniti dapat berganding bahu bersama atas satu matlamat utama iaitu memastikan kelestarian alam sekitar demi generasi masa hadapan.
YB Datuk Lo Su Fui menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur serta semua rakan kerjasama atas komitmen tinggi yang ditunjukkan. Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh sukarelawan dan warga kota yang hadir memberikan sokongan padu sejak awal pagi lagi bagi menjayakan program berkenaan.
Melalui penganjuran ini, momentum penjagaan alam sekitar diharap dapat terus dikekalkan oleh semua pihak memandangkan usaha menjaga kebersihan dan kelestarian bumi merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul secara berterusan.