Portal Rasmi Jabatan Wilayah Persekutuan

-
-
- - - - - - - - - Data Projek RUMAWIP Yang Telah Dilancarkan
-
- - -
-
Sebutharga & Tender -
 

Program Terkini


YB DATUK LO SU FUI HADIR MEMENUHI UNDANGAN PROGRAM KANAK-KANAK & BELIA DI PPR BATU MUDA

YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), hari ini telah hadir memenuhi undangan sebagai Tetamu Khas bagi Program Kejiranan dan Kepimpinan (PKK) dengan tema pembangunan kanak-kanak dan belia yang berlangsung di Dataran 1, PPR Batu Muda, Sentul. Kehadiran beliau adalah bagi memenuhi jemputan serta mengiringi YB Tuan P. Prabakaran, Ahli Parlimen Batu, selaku penganjur utama yang merasmikan program komuniti berkenaan.

Program yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari ini merupakan sebuah inisiatif anjuran bersama Pusat Bantuan Sentul, APPGM (All Party Parliamentary Group Malaysia), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4, PPR Batu Muda, dan Pusat Khidmat Parlimen Batu. Penganjuran program komuniti ini bertujuan melahirkan generasi muda yang seimbang melalui pelbagai pengisian berbentuk kesedaran dan pemerkasaan diri penduduk setempat.

Antara pengisian utama program merangkumi aspek kesihatan mental dan fizikal menerusi ceramah pengurusan stres, saringan kesihatan, serta keselamatan kanak-kanak melalui bengkel khas mengenai gangguan seksual. Bagi mempersiapkan masa depan generasi muda, program turut menyediakan sesi motivasi persediaan ke universiti, taklimat TVET, aktiviti berasaskan konsep SDG, serta program Jualan Rahmah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup komuniti.

Dalam program tersebut, YB Datuk Lo Su Fui telah meluangkan masa beramah mesra serta menyampaikan hadiah kepada anak-anak muda komuniti setempat yang telah muncul sebagai pemenang dalam pertandingan futsal yang diadakan. Kehadiran agensi sokongan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuktikan komitmen utuh dalam memastikan kebajikan, keselamatan, dan pembangunan kanak-kanak serta belia di kawasan perumahan bandar sentiasa terbela.