DBKL PERKUKUH PERKHIDMATAN PENGHORMATAN TERAKHIR, KURANGKAN TEMPOH MENUNGGU WARIS
08 Julai 2026
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengadakan sesi turun padang ke Kompleks Krematorium DBKL, Jalan Kuari, Cheras bagi meninjau perancangan projek naik taraf kemudahan tersebut yang bakal meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan penghormatan terakhir kepada komuniti bukan Islam.
Kompleks Krematorium DBKL yang mula beroperasi sejak tahun 1977 merupakan antara krematorium awam terbesar di Malaysia dengan purata 5,844 operasi kremasi setiap tahun. Seiring peningkatan permintaan terhadap kemudahan ini, DBKL akan melaksanakan projek naik taraf bernilai RM45 juta yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026. Projek ini dijangka siap pada tahun 2029.
Pelaksanaan projek ini akan menambah bilangan mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit, sekali gus meningkatkan kapasiti operasi harian daripada 18 kepada 27 kremasi. Selain itu, ruang menunggu dan kemudahan sokongan turut akan dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna. Bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan, DBKL akan menyediakan empat unit mesin kremator sementara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berkualiti, sekali gus memastikan setiap kemudahan awam di Wilayah Persekutuan terus memenuhi keperluan rakyat serta meningkatkan kesejahteraan warga kota.
Turut hadir YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras serta pegawai-pegawai kanan DBKL.