JWP x KUeH: BAWA KEUNIKAN MAKANAN MALAYSIA KE MERCU TANDA IKONIK KL
09 Jun 2026
Satu sesi perbincangan kolaborasi strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan jenama pelopor hidangan tradisional tempatan, KUeH, telah diadakan apabila YBhg. Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, menerima kunjungan hormat daripada YBrs. Encik Mohamad Ezwan Mohamad Zain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengasas Kueh Cafe.
Pertemuan bermakna ini memfokuskan kepada usaha menerokai ruang kerjasama strategik dalam menonjolkan keunikan menu dan makanan warisan Malaysia di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong sekitar ibu kota, seperti di kawasan sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek.
Melalui usaha kolaborasi ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk:

Memartabatkan Cita Rasa Tempatan: Mengangkat keunikan hidangan tradisional Malaysia agar menjadi tumpuan tempat utama rakyat dan pelancong di lokasi yang berprestij.

Menghidupkan Pelancongan Gastronomi: Mewujudkan tarikan baharu buat pengunjung domestik dan antarabangsa dengan menggabungkan keindahan warisan sejarah dan kelazatan makanan tempatan.

Menyokong Pembangunan Usahawan: Membuka ruang rujukan, inspirasi, dan pemindahan kepakaran kepada usahawan mikro dan sederhana tempatan agar lebih berdaya saing.
Pihak JWP percaya bahawa model kejayaan, kepakaran dan keaslian rasa yang dibawakan oleh KUeH mampu memberikan impak positif yang berpanjangan melalui galur warisan ekosistem KUeH yang turut membantu ibu-ibu tunggal menjana pendapatan


.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah YBhg. Datuk Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan, bersama pegawai-pegawai kanan JWP bagi membincangkan potensi kerjasama dan hala tuju inisiatif yang dicadangkan.
Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan KUeH atas kesudian berkongsi visi, idea, dan pengalaman dalam sesi kali ini. Mari kita jayakan inisiatif umph nie

.