OPERASI TEGAS TANGANI KENDERAAN TERSADAI
18 Mei 2026
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengadakan lawatan ke fasiliti Car Medic di Semenyih bagi meninjau proses pelupusan kenderaan sitaan dan kenderaan buruk di bawah operasi DBKL.
Lawatan ini bertujuan memastikan proses pelupusan kenderaan dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi prosedur ditetapkan selain memperkukuh pengurusan bandar yang lebih bersih, selamat dan teratur untuk warga kota.
Sejak tahun 2022 hingga 2025, sebanyak 9,411 aduan berkaitan kenderaan buruk dan tersadai diterima DBKL dengan 4,637 kenderaan berjaya ditarik keluar untuk tindakan lanjut. DBKL turut mengambil langkah lebih proaktif bagi mempercepatkan proses pelupusan termasuk memperkukuh penyelarasan bersama agensi berkaitan demi menangani isu kenderaan tersadai dengan lebih cekap dan berkesan.
Semoga usaha berterusan ini dapat memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat dan nyaman untuk didiami seluruh warga kota.