TINJAU OPERASI PUSAT GELANDANGAN, PERKUKUH USAHA KEBAJIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN.
29 April 2026
YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), telah mengadakan lawatan turun padang ke Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku pada 28 April 2026.
Lawatan ini bertujuan meninjau operasi dan perkhidmatan di kedua-dua pusat, termasuk kemudahan yang disediakan kepada penghuni. Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara kini menempatkan sekitar 70 penghuni daripada kapasiti 200 orang, manakala Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku (PKG Medan Tuanku) menempatkan kira-kira 45 penghuni.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program pemulihan dan penjodohan pekerjaan melalui kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO bagi membantu golongan gelandangan kembali berdikari serta meningkatkan kualiti hidup.
Usaha berterusan ini diharap dapat terus diperkukuh dalam memastikan kebajikan golongan gelandangan terpelihara, sekali gus membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.