PUTRAJAYA AKTIF 2026 DILANCAR, LONJAK USAHA TANGANI OBESITI DAN GAYA HIDUP SIHAT
12 April 2026
YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) hadir menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Putrajaya Aktif 2026 di Putrajaya sebagai langkah memperkukuh usaha kerajaan dalam menangani isu obesiti dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti senaman aerobik, lompat tali dan sepak takraw yang melibatkan penyertaan pelbagai peringkat umur. Pendekatan berasaskan komuniti ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan program secara berterusan di beberapa lokasi serta penganjuran karnival sihat dan klinik asas sukan.
Inisiatif ini bukan sekadar meningkatkan kesedaran, malah memberi tumpuan kepada perubahan gaya hidup yang lebih aktif dan sihat secara konsisten. Usaha ini diharap dapat melahirkan komuniti yang lebih cergas, sihat dan bersatu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Haji Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Presiden Perbadanan Putrajaya dan YBrs. Encik Nik Ahmad Zahiruddin bin Nik Saleh, Pengarah MSWP serta pengarah-pengarah kanan PPJ.