KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan merasmikan Borneo Flora Festival@ Labuan 2025 (BFF 2025) festival bunga terbesar di Kepulauan Borneo. Festival bunga berprestij yang julung kali diadakan di Kepulauan Borneo ini diterajui oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan tiga agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
BFF 2025 yang menampilkan keunikan dan keindahan flora Borneo melalui pelbagai pameran taman bertema mendapat 31 penyertaan agensi kerajaan, swasta, antarabangsa, komuniti, institut pengajian tinggi dan sekolah-sekolah. Ini termasuk penyertaan dari Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Perkembangan ekonomi pelbagai sektor tempatan termasuk hospitaliti, pengangkutan, gastronomi, inap desa dan lain-lain turut menerima manfaat yang besar sepanjang penganjuran BFF 2025 yang sekaligus dapat membangunkan sektor pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sumbangan sukarelawan yang menjadi tulang belakang dalam merealisasikan BFF 2025 ini telah membuahkan hasil melalui kerja-kerja penyemaian, penanaman, pemindahan dan penyusunan 250,000 unit pokok bunga semusim sejak awal bulan Mei. Kerjasama dengan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pokok-pokok tanaman dan barangan keperluan hiasan taman adalah kolaborasi strategik pihak kerajaan (G2G) dalam menjayakan pelaksanaan BFF 2025 ini. Produk-produk bebas cukai dalam Wilayah Persekutuan Labuan turut menawarkan penjualan pada harga diskaun dalam membolehkan semua pengunjung BFF 2025 merasai pengalaman (value for money) apabila melancong ke Pulau Labuan.
Pelaksanaan BFF 2025 ini bukan sekadar penganjuran acara yang bertaraf antarabangsa dan berskala besar tetapi dapat memperkenalkan dan melonjakkan lagi potensi Wilayah Persekutuan Labuan terutamanya dalam membuka peluang pelaburan baharu.
FOTO: JAPEN