LAWATAN KE CIDB KUALA LUMPUR
10 Jun 2025
Delegasi Jabatan Wilayah Persekutuan dan Agensi diketuai oleh YBhg. Datuk Ramlee bin Yatim, Timbalan Ketua Pengarah (PPe) Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengadakan lawatan ke Construction Industry Development Board Kuala Lumpur (CIDB WPKL) susulan hasrat awal CIDB WPKL untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengurusan Tertinggi JWP.
Dalam sesi tersebut turut membincangkan Pekeliling KSU KPKT Bil. 4/2024: Garis Panduan Pemantauan dan Pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System-IBS) bagi projek swasta termasuk memberi pendedahan kepada pegawai JWP & Agensi berkenaan senario semasa IBS di peringkat nasional dan Wilayah Persekutuan.
Pihak CIDB WPKL telah mengadakan taklimat di Galeri Komponen IBS dan juga tapak rumah contoh yang menggunakan beberapa teknik daripada 6 Sistem IBS di pasaran seperti Sistem Konkrit Pra Tuang/ Acuan Berulang/ Kerangka Keluli/ Blok/ Kerangka Kayu/ Inovatif.
Dalam taklimat, CIDB WPKL mengesyorkan DBKL, PPj dan PL mengguna pakai pekeliling KSU KPKT Bil. 4/ 2024 dengan mengenakan syarat wajib 70% skor IBS untuk permohonan pelan bangunan bagi projek swasta bernilai RM50 juta ke atas dan keluasan lantai kasar 50,000 meter persegi ke atas.
CIDB diberi peranan sebagai Agensi Teknikal Luar (ATL) dalam Jawatankuasa OSC PBT dan memantau pelaksanaan IBS bagi projek swasta. DBKL dan PPj memaklumkan bahawa Agensi tersebut telah mula mengguna pakai pekeliling KSU KPKT berkenaan namun pemurnian proses kerja perlu diperhalusi lagi bersama CIDB. Manakala PL masih belum melaksanakannya kerana menghadapi isu bilangan pembekal material IBS yang terhad di pasaran tempatan.
JWP mengalu-alukan hasrat CIDB untuk mengadakan sesi libat urus berkaitan Sistem ISCS (Sistem Pengesahan Skor IBS) bersama Principle Submitting Person (PSP) yang berurusan dengan PBT. CIDB juga akan melaksanakan sesi penerangan Sistem ISCS kepada pegawai-pegawai PBT bagi tujuan penyelarasan proses kelulusan kebenaran merancang. CIDB menyasarkan tempoh pelaksanaan IBS skor 70% bagi projek swasta adalah sehingga Jun 2026.