PELANCARAN JETI DAN PERASMIAN PERKHIDMATAN FERI EKSPRES LABUAN KE KOTA KINABALU
27 Mei 2025
YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menghadiri Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Perkhidmatan Feri bagi laluan di antara Labuan dan Kota Kinabalu hari ini.
Pasca pandemik yang lalu, laluan ini telah terhenti pengoperasiannya dan ramai pihak yang terkesan dari kalangan pelajar, pesakit hinggalah peniaga kecil dan penjawat awam yang berulang alik.
Atas dasar itu, pada 25 Februari 2025 yang lalu, YB Menteri telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri Sabah untuk membincangkan jalan penyelesaian kepada isu kesalinghubungan antara Labuan dan Sabah, termasuk isu feri ekspres ini.
Terminal di Labuan telah pun sedia untuk menerima perjalanan ini, manakala jeti di Kota Kinabalu perlu dinaik taraf. Justeru, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk menaik taraf jeti tersebut.
Alhamdulillah, hari ini dalam sejarah, perkhidmatan feri ekspres ini telah mula beroperasi semula, khususnya dalam tempoh Pesta Kaamatan yang akan disambut beberapa hari sahaja lagi dan penganjuran Borneo Flora Festival @ Labuan 2025 yang akan dilaksanakan pada Julai ini.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini.
FOTO: Facebook Dr. Zaliha Mustafa