YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah (JWP) telah mengetuai Sesi Walkabout Turun Padang bagi mendapatkan gambaran awal projek dan program yang bakal dilaksanakan, serta berkesempatan menyantuni pimpinan organisasi yang terlibat serta wakil-wakil masyarakat setempat.
Kampung Jerantut Feri, Mukim Pedah, Daerah Jerantut, Pahang Darul Makmur telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi tahun 2025.
Sebanyak 7 skop projek infrastruktur dan program sosio ekonomi akan dilaksanakan dengan pendekatan Whole of Government di lokasi-lokasi kemudahan awam seperti dewan orang ramai, balai raya, sekolah, masjid, gelanggang futsal dan taman permainan.
Selain itu, pelaksanaan program kemasyarakatan seperti gotong-royong dan program kerohanian turut direncanakan, di samping program-program pengupayaan bagi kumpulan masyarakat yang memerlukan.
Keterangkuman inisiatif MADANI oleh Kerajaan turut diperluaskan dengan pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI buat julung kalinya pada tahun ini. SK Tanah Rom, Daerah Jerantut telah dipilih sebagai Sekolah Angkat Jabatan Wilayah Persekutuan.
Turut hadir, Wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, Guru Besar, SK Pedah, Jerantut dan SK Tanah Rom, Jerantut serta Wakil JPKK Kampung Jerantut Feri.