Delegasi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diketuai YBhg. Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah JWP telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia semalam.
JWP sedang giat merancakkan aktiviti pelancongan di Labuan melalui beberapa pendekatan, antaranya adalah pelaksanaan acara berskala besar seperti Borneo Flora Festival (BFF) serta pembangunan dan promosi produk pelancongan sedia ada dan baharu.
Salah satu tarikan pelancongan yang dikenal pasti adalah Hutan Simpan Kekal Paya Bakau Kina Benuwa, WP Labuan. Penemuan seekor buaya di kawasan ini, berdasarkan laporan akhbar pada 8 Mac 2025, boleh menjadi daya tarikan baharu kepada pelancongan. Justeru, delegasi JWP telah mendapatkan nasihat dan panduan berkenaan langkah yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Kunjungan hormat ini turut membincangkan kerjasama yang boleh dijalinkan antara JWP dan PERHILITAN, khususnya dalam pembangunan ekopelancongan di Labuan, dengan mengambil kira kekayaan biodiversiti yang dimiliki oleh pulau tersebut.
Kesempatan turut diambil untuk menyampaikan permasalahan yang dihadapi oleh penternak ikan sangkar di Kampung Jerantut Feri, iaitu Kampung Angkat MADANI Datuk Seri Ketua Pengarah JWP. Selain daripada isu kos pengurusan yang tinggi, ancaman daripada spesies memerang turut menjadi cabaran utama kepada para penternak.